#FACEBOOK: BERLAPANG DADA
Sering saja kita mempunyai perbezaan pendapat. Namun, jika dengan perbezaan itu menjadikan kita bertelagah -- apalah guna akal fikiran yang diberikan Allah?
Pandangan manusia seringkali berubah. Pendapat kita mengenai sesuatu perkara, tidaklah selalunya benar. Adakala, ianya didorong oleh emosi. Menjadikan kata-kata kita hanyalah penyedap rasa.
Pandangan kita terhadap sesuatu isu, mungkin tidak sama sepertimana pandangan kita lima tahun lepas. Kerana apa?
Kerana; peningkatan dalam ilmu.
Bilamana kita berbicara mengenai sesuatu isu, dan pandangan seseorang itu tidak selari dengan perkara yang dibincangkan -- mungkin saja dia kekurangan ilmu atau maklumat. Atau saja, dia mempunyai lebih ilmu daripada kita.
Walaubagaimanapun, kita harus sedia maklum bahawa kita tidak mempunyai hak untuk mengubah pandangan setiap manusia -- kerana tiap pendapat itu ada justifikasi mereka sendiri.
Berlapang dada dalam perbezaan pandangan adalah perkara yang sukar dilakukan, walaupun dikalangan bijak pandai.
Iya, berlapang dada juga terkait dengan ego. Merasakan diri kita sahaja yang benar. Tidak salah mendengar pandangan orang lain, walaupun kita sendiri kurang bersetuju.
Itulah yang dinamakan; meraikan perbezaan.
Tidak ada yang kalah ataupun menang.
Laluilah jalan mana yang kita rasa ianya benar. Selagi pendapat kita itu tidak menyalahi syarak -- teruskan.
Prof. Madya Dr. Haim Hilman ada menyebut, "Alim ulama' terdahulu menguasai pelbagai cabang ilmu, dengan itu mereka dapat melihat sesuatu perkara dengan konteks yang lebih luas. Mereka juga tidak bersikap stereotaip dan lebih menghargai perbezaan."
Kuncinya adalah ilmu.
Ilmu dapat mengubah sudut pandang tiap manusia, termasuklah cara kita berfikir dan membuat keputusan.
Amira, A. | 300919 | 04:41 | Edited 13:08
Comments
Post a Comment